top of page

Selamat Hari Raya Eidul Fitri 1436 Hijriah

 

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

 

Warga UKM yang dihormati,

 

Pada kesempatan ini, saya dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh warga UKM. Bagi setiap umat Islam, saya pasti kita berasa sebak kerana Ramadhan yang penuh rahmat, keampunan dan kebebasan daripada siksaan hampir meninggalkan kita. Kita hanya mampu berdoa, semoga Allah menerima segala amal kebaikan yang kita lakukan.

 

Ramadhan adalah suatu tempoh ujian yang mendidik kita semua untuk memperkukuh iman dan memperkasa taqwa. Keprihatinan terhadap yang lemah, kesuburan semangat untuk memberi, ketinggian iltizam mempertingkat ibadah dan kesabaran menempuh cabaran telah menjadikan kita terus utuh sebagai petugas di universiti. Sepanjang sebulan Ramadhan. dengan penuh kesedaran, tanggungjawab terus dilaksanakan tanpa berkurang sedikit pun. Malah kita terus menggerakkan universiti dengan memastikan terbentuk kesempurnaan pada tahap yang lebih tinggi.

 

Kini, Eidul Fitri menjelang tiba. Kegembiraan kita bukan kerana sudah melepasi kesukaran ujian Ramadhan, tetapi justeru kita merasakan kita kini kembali kepada fitrah yang menjadikan kita lebih pasrah dan tunduk kepada tuntutan Ilahi. Semoga acuan yang terbentuk dalam diri hasil didikan Ramadhan, terus kukuh untuk dizahirkan dalam kehidupan kita yang seterusnya.

 

Marilah kita meraikan Eidul Fitri ini dengan bertasbih, bertahmid dan bertakbir sebagai tanda kesyukuran di atas nikmat yang dianugerahkan Allah dalam pelbagai bentuknya. Pereratkan tali silaturrahim, perteguhkan ikatan kekeluargaan dan perkukuhkan persahabatan dengan melebarkan kasih sayang.

 

Saya juga menyeru seluruh warga universiti, berhati-hati dalam perjalanan ke kampung halaman. Bagi saya, pulang ke kampung halaman ibarat kembali kepada akar jati diri kita. Di situlah kita berasal dan dengan kesedaran itu pulanglah ke kampus dengan semangat yang berkobar-kobar untuk menabur bakti dan menggalas tanggungjawab membela agama, masyarakat dan negara. Ini amatlah sesuai dengan gagasan kita UKM Pendaulat Amanah Negara.

 

Semoga kita bertemu lagi dengan semangat dan harapan yang baharu, menjana kecemerlangan berterusan untuk universiti tercinta demi negara yang disanjungi.

 

Sekian, terima kasih.

 

Salam hormat,
Noor Azlan Ghazali

 

Bertarikh 14 Julai 2014/27 Ramadhan 1436H

© 2015 Pejabat Naib Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia.  Tel:+ 03-8921 5013 / 4380

bottom of page